Jumaat, 16 Mac 2012

MYVI LAGI BEST!




Tahukah anda sebenarnya kereta MYVI ini dicipta khas buat kaum wanita?? Cuba kita perhatikan di atas jalan-jalan raya, kebanyakan yang memandu kereta ini adalah perempuan. Manakala lelaki lebih cenderung dengan kereta yang lasak especially HONDA, setuju tidak??

Menjadi varian tertinggi di kalangan model Myvi yang pernah dilancarkan sejak 2005, Perodua Myvi Extreme 1.5 membuka dimensi baru betapa saiz kompak bukan penghalang apabila menyentuh berkenaan peningkatan spesifikasi dan prestasi ekstrem. Perodua Myvi Extreme 1.5 merupakan salah satu varian terbaru lanjutan daripada model Myvi 2011 Lagi Best yang dilancarkan pada pertengahan Jun 2011 yang lalu.
Dengan tagline baru “Lagi Power, Lagi Best”, ia tampil dengan enjin berkapasiti lebih besar serta peningkatan kuasa ketara, selain padat dengan ciri-ciri dan spesifikasi serba lengkap, termasuk warna kuning Majestik baharu yang ternyata lebih menyerlah dan pantas mencuri tumpuan sesiapa sahaja.
Dilancarkan secara rasmi hari ini pada tarikh 15 September 2011, Myvi Extreme 1.5 seperti mana namanya sudah diketahui umum memiliki enjin bersesaran 1.5 liter (1,495cc) yang sebelumnya digunakan pada model bersaiz lebih besar, MPV Perodua Alza. Bagi yang kurang mengikuti perkembangan semasa dunia permotoran tanah air pastinya tidak menyangka bahawa Myvi 2011 baharu akan tampil lebih berkuasa dengan enjin sebesar itu.
Model Myvi sememangnya sudah sinonim dengan enjin bersaiz 1.3 liter kerana nisbah kuasa kepada enjin yang hampir sempurna, yang kemudiannya telah menjadi salah satu faktor penyumbang utama kenapa ia menjadi model terlaris di Malaysia selama lima tahun berturut-turut (2006-2010).
Myvi Extreme 1.5 dipasangkan enjin berkod 3SZ-VE berkapasiti 1.5 liter empat silinder, bersama sistem DOHC 16 Valve, DVVT dan EFI, dengan keluaran kuasa kuda kini mencecah angka 102hp@6,000rpm dan tork maksimum 136Nm@4,400rpm. Enjin 1.3 liter pada model Myvi 2011 Lagi Best dicatatkan pada angka 90hp dan tork maksimum 117Nm, perbezaan kuasa yang sangat signifikan jika dibandingkan antara kedua-dua varian tersebut.
Kotak gear manual 5 kelajuan dan automatik 4 kelajuan kekal sama seperti mana model yang dilancarkan sebelum ini. Sistem brek depan untuk Myvi Extreme 1.5 dari jenis cakera (disc brake with booster) manakala brek belakang masih mengekalkan jenis dram. Sistem gantungan melibatkan strut MacPherson di depan dan torsion beam di belakang.
Bahagian eskterior menampilkan ciri-ciri peralatan seperti lampu depan projektor, gril depan baru lebih sporty, lampu kabus depan, cermin sisi berkuasa elektrik boleh lipat bersama isyarat membelok, pemegang pintu krom, spoiler belakang rekaan Extreme, lampu belakang kombinasi LED, tiang tengah pintu diwarnakan hitam, skirting penuh depan (lips tambahan rekaan baru menarik), sisi dan belakang, side door moulding serta rim roda aloi 14 inci rekaan baru.
Bahagian luaran belakang turut menampilkan diffuser sporty berwarna hitam yang menambahkan lagi sifat dinamiknya, mungkin juga meningkatkan ciri aerodinamik. Tidak dilupakan penambahan filem penapis haba berkualiti tinggi dipasang standard di setiap cermin pintu termasuk laminasi khas di cermin penghadang angin.
Sebagai varian tertinggi, sudah pasti ciri-ciri dan kelengkapan yang ada pada Myvi Extreme 1.5 ini hampir sempurna di bahagian interior. Paling mengujakan berbanding Myvi Lagi Best sudah tentu penggunaan papan pemuka dan panel pintu berwarna hitam. Bukan saja memberikan impak suasana dalaman lebih gelap dan sporty, malah memberikan imej baru lebih garang, bersesuaian dengan sifatnya kini yang lebih ekstrem.
Meter optitron dengan kombinasi lampu menarik beriluminasi merah, stereng berkuasa elektrik, kerusi dibalut kulit dengan jahitan Extreme 1.5 di bahagian depan, stereng sentuhan kulit lengkap dengan butang kawalan audio di sebelah kiri dan karpet lantai eksklusif Extreme 1.5, semua itu merupakan ciri-ciri standard Myvi Extreme 1.5.
Turut didatangkan bersama ialah panel skrin sesentuh multimedia 6 inci serasi pemain DVD/CD/MP3/WMA dan sokongan port USB termasuk penyambungan Bluetooth dan fungsi bebas tangan untuk telefon bimbit. Lebih hebat apabila Myvi Extreme 1.5 meminjam salah satu ciri yang ada pada setiap kereta premium moden, di mana skrin sesentuh multimedia turut dipasang secara dalaman sistem navigasi GPS untuk kemudahan pemanduan ke setiap destinasi tujuan.
Secara keseluruhannya, bahagian interior masih mengekalkan keluasan sama seperti model Myvi generasi pertama, namun memandangkan Myvi 2011 termasuk varian Extreme ini lebih kompak, ruang bonet belakang kini sedikit kecil dan mungkin agak ‘mengganggu’ jika perlu mengisi banyak barang keperluan.
Ciri keselamatan untuk Myvi Extreme 1.5 kekal terbaik apabila digabungkan bersama dua beg udara SRS untuk pemandu dan penumpang depan, sistem ABS bersama EBD dan BA, penggera dan Immobiliser, ciri anti kecurian, tali keledar dengan ciri ‘pre-tensioner’, tali keledar belakang beserta sistem ‘ISOFIX child restraint’ untuk keselamatan kanak-kanak.
Perodua Myvi Extreme 1.5 baharu didatangkan dalam tiga warna, termasuk warna baharu yang sentiasa menarik perhatian ramai iaitu Majestic Yellow (kuning), selain dua warna biasa Ivory White (Putih) dan Ebony Black (hitam).
Berkenaan harga yang ditawarkan pula, Perodua telah meletakkan sasaran harga sedikit tinggi untuk model ‘flagship’ ini iaitu RM58,200.00 (solid) dan RM58,700.00 (metalik) untuk versi manual, manakala versi automatik bermula dengan harga RM61,200.00 (solid) dan RM61,700.00 (metalik). *Senarai harga akan berubah jika ada pembetulan nanti.
Peningkatan harga yang agak tinggi dirasakan bersesuaian dengan apa yang ditawarkan oleh Myvi Extreme 1.5, namun Perodua kelihatan sedikit tersasar daripada matlamat penubuhan awalnya untuk membekalkan sebuah kereta rakyat yang murah kepada rakyat Malaysia.
Mungkin Perodua beranggapan tanggungjawab mereka sudah selesai apabila model Viva dan Myvi 2011 Standard berharga di bawah RM50 ribu, namun rakyat Malaysia sebenarnya berhak untuk mendapat kereta berkualiti tinggi seperti Myvi Extreme 1.5 pada kadar harga lebih munasabah dan mampu milik.
Namun mungkin terdapat tekanan dari pihak lain demi menjaga jualan kenderaan keluaran satu lagi syarikat automotif negara, bermakna harga Perodua Myvi generasi baharu perlu ditetapkan lebih mahal agar tidak mengganggu pasaran saingannya itu yang ternyata lebih murah walaupun ditawarkan dengan ciri terbaru lebih moden iaitu sistem transmisi CVT, selain enjin baharu 1.6 liter lebih berkuasa.
Berkenaan kuasa yang dihamburkan oleh enjin 1.5 liter pada Myvi Extreme ini, nisbah kuasa kepada berat (power to weight ratio) pastinya sangat ideal dan dirasakan ‘agak berlebihan’ bagi membolehkannya bergerak dari titik pegun ke jarak 100 km/j dalam tempoh masa yang singkat, termasuk kemampuannya memecut di lebuh raya pada kelajuan tinggi tanpa terlalu perlu memaksa enjin beroperasi pada putaran (rpm) lebih tinggi.
Antara persoalan yang menarik disuarakan ketika ini ialah mampukah Perodua Myvi Extreme ini mencabar model berprestasi tinggi yang lain di dalam kelasnya, sebagai contoh Satria Neo CPS atau Saga FL 1.6 liter? Dari segi pengendalian mungkin masih belum mampu, tetapi pada kelajuan lurus siapa tahu Myvi Extreme mungkin lebih ‘menyengat’.
Walaupun harganya sedikit mahal dan pasti hanya mereka yang mempunyai bajet lebih sahaja mampu atau sanggup memiliki Myvi Extreme ini, sasaran jualannya pasti akan membantu meningkatkan jumlah jualan Perodua Myvi 2011 secara keseluruhan pada setiap bulan.
Tidak mustahil dengan pengenalan varian Myvi yang menggunakan enjin 1.5 liter buat pertama kali ini, Perodua akan kekal mendahului carta jualan kenderaan terlaris di Malaysia untuk beberapa tahun akan datang.
p/s : Berapakah agaknya kadar penggunaan petrol bagi Perodua Myvi Extreme ini? Berat kenderaan ringan (kerb weight maksimum 995 kg) ditambah dengan enjin lebih berkuasa, dijangkakan kadar penggunaan bahan apinya kekal berada pada tahap menjimatkan sama seperti varian Myvi 1.3.
Harga sebenar (official price) Myvi Extreme 1.5 dan Myvi SE 1.5 akan didedahkan sewaktu pelancaran nanti, sama-sama kita nantikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan